Friday, June 5, 2015

KAEDAH PENYEMBELIHAN CARA ISLAM YANG PALING BAIK



Islam adalah agama rahmat (kasih sayang) untuk seluruh manusia bahkan kepada haiwan. 

Perhatikanlah bagaimana peraturan Islam dalam penyembelihan binatang ternakan. Cara 

penyembelihan Islam juga adalah sangat baik untuk kesihatan.


TUNTUTAN mendapatkan makanan halal menjadi perkara penting bagi setiap Muslim. Ini 

kerana ia adalah perintah daripada Allah melalui rasul-Nya. Pemakanan halal adalah di 

antara ciri utama dalam pembentukan fizikal sihat, khususnya bagi perkembangan minda

 serta hati manusia.



Pengetahuan tepat serta menyeluruh mengenai kaedah penyembelihan yang mengikut 

lunas syariat amat penting kerana ia berkait rapat dengan faktor kesihatan.

Tambahan lagi, konsep sembelihan dalam Islam atau ‘zabiha’ juga perlu dihuraikan 

sebaik mungkin agar ibadat ini tidak dilihat sebagai satu perbuatan menyeksa haiwan

 secara kejam dan perlahan, berdasarkan pandangan masyarakat bukan Islam yang 

melihatnya hampir setiap tahun menjelang Aidiladha.

Islam meletakkan garis panduan dalam penyembelihan haiwan. Buku bertajuk Halal dan 

Haram dalam Islam Oleh Syeikh Muhammad Yusuf Qardhawi menghuraikan kaedah dan

 syarat penyembelihan berdasarkan al-Quran dan sunnah. Penyembelihan harus 

menggunakan objek tajam. Kaedah ini untuk meminimumkan kesakitan haiwan ketika

 disembelih.




Sabda Nabi saw bermaksud:“Sesungguhnya Allah mewajibkan untuk berbuat baik

 kepada sesuatu. Oleh itu jika kamu membunuh, maka perbaikilah cara 

membunuhnya, dan apabila kamu menyembelih maka perbaikilah cara 

menyembelihnya dan tajamkanlah pisaunya serta mudahkanlah penyembelihannya

 itu” (Hadis riwayat Muslim).

Penyembelihan harus dilakukan pada leher haiwan itu, iaitu pada bahagian urat nadi 

atau kerongkongnya. Setiap penyembelihan perlu dimulakan dengan Bismillah.

Firman Allah bermaksud: “Maka makanlah haiwan (yang halal) yang disebut nama Allah

 ketika menyembelihnya, jika kamu beriman kepada ayat-ayatnya” (Surah al-An’aam, 

ayat 118).




Fakta saintifik membuktikan bagi setiap penyembelihan, darah haiwan itu perlu dialir

 keluar. Ini kerana darah adalah medium terbaik bagi mikro organisma membiak. 

Bahagian ‘spinal cord’ hendaklah dielakkan daripada terpotong ketika sembelihan 

dilakukan kerana  ia akan menyekat aliran darah keluar akibat daripada saluran darah 

terganggu kesan daripada jantung haiwan terhenti secara tiba-tiba.

Dr Zakir Naik, seorang doktor dan pendakwah Islam antarabangsa menyenaraikan

 kepentingan serta kebaikan penyembelihan mengikut hukum syarak. Kaedah 

penyembelihan Islam adalah terbaik dan bersih. Ini kerana darah yang menjadi punca 

pembiakan kuman, bakteria dan toksin yang akan menyebabkan beberapa penyakit 

dikeluarkan sejurus selepas proses penyembelihan. Selain itu, daging sembelihan kekal 

segar dalam satu tempoh yang lama.

Kaedah penyembelihan Islam juga tidak menyebabkan kesakitan kepada haiwan itu. Ini 

kerana saluran darah serta saraf yang menghubungkan ke otak yang boleh

 menyebabkan rasa sakit terputus. Maka keadaan di mana haiwan bertindak balas secara

 tiba-tiba dalam keadaan agresif bukan kerana kesakitan, tetapi kesan tindak balas otot 

yang berlaku apabila darah mengalir keluar.


Profesor Schultz dan rakannya Dr Hazim dari Universiti Hanover, Jerman, membuktikan 

melalui eksperimen dengan menggunakan alatan saintifik seperti Electroencephalograph 

(EEG) dan Electrocardiogram (ECG) menunjukkan kaedah sembelihan Islam adalah

 terbaik. Tiga saat pertama selepas kaedah sembelihan cara Islam dilakukan, EEG tidak 

menunjukkan sebarang perubahan graf. Ini menunjukkan haiwan itu tidak mengalami 

sebarang kesakitan secara tiba-tiba selepas penyembelihan. Kemudian, selepas tiga saat 

yang seterusnya, EEG merekodkan keadaan yang dinamakan sebagai ‘deep sleep’ di 

mana, haiwan mengalami keadaan tidak sedarkan diri kesan daripada darah yang 

mengalir keluar dari tubuh haiwan itu. Akhir sekali, EEG pada paras 0 menunjukkan 

tiada tanda-tanda kesakitan selepas enam saat eksperimen dilakukan. Kaedah ujian 

saintifik hari ini membuktikan kaedah penyembelihan Islam adalah terbaik.


Seterusnya menunjukkan Islam amat mementingkan kebersihan serta kesihatan. 

Pemilihan pemakanan yang halal penting dalam memastikan tahap kesihatan sentiasa

 berada di tahap yang memuaskan agar memperoleh tenaga yang secukupnya untuk

 beribadat. Oleh itu, Muslim perlu menilai dan meneliti sumber pemakanannya agar

 datang dari sumber yang halal bukan meragukan.

No comments:

Post a Comment